Friday 3 February 2012

Jadual Kuliah / Pengajian Ustaz Rosidi Hussain Setiap Bulan.

As'salam, bagi memudahkan pembaca Penaga Daily mengikuti kuliah pengajian "TETAP" Ustaz Rosidi Hussain, dimuatkan jadual kuliah beliau setiap bulan :-

1. Minggu Pertama.

Hari Isnin            :  Kuliah Magrib diSurau Permatang Rawa, Bukit Mertajam.

Hari Selasa       :  Kuliah Magrib diSurau Tepi Laut Pasir Gebu. 

Hari Rabu          :  Kuliah Magrib diSurau Sri  Bayan, Sg Ara.  

Hari Khamis      :  Kuliah Magrib diSurau Pasir Gebu, Penaga.


2. Minggu Kedua.

Hari Isnin            :  Kuliah Magrib diMasjid Hashim Yahya, P.Pinang.

Hari Rabu          :  Kuliah Magrib diMasjid Pantai Jerjak.

Hari Khamis      :  Kuliah Magrib diSurau Taman Sri Janggus.

Hari Ahad          :  Kuliah Subuh diSurau Kg. Alma, Bukit Mertajam.
                              Kuliah Magrib diSurau Taman Kuala Bekah, Penaga.


3. Minggu Ketiga.

Hari Isnin         :  Kuliah Magrib diMasjid Daerah Seberang Prai Tengah, Bandar Perda.

Hari Selasa    :  Kuliah Magrib diMasjid Lama Sg Duri, Nibong Tebal.

Hari Rabu       :  Kuliah Magrib diTaman Sri Bayan, Sg Ara.
                                    
Hari Sabtu      :  Kuliah Subuh diMasjid Teluk Ayer Tawar.
                            Kuliah Magrib diMasjid Tinggi Bagan Serai, Perak.


4. Minggu Keempat.

Hari Isnin       :  Kuliah Magrib diSurau Kubang Menerong.

Hari Rabu      :  Kuliah Magrib diMasjid Permatang Janggus.

Hari Sabtu     :  Kuliah Magrib diMasjid Cherok Tok Kun.

Hari Ahad      :  Kuliah Magrib diMasjid At-Taqwa, Taman Bertam Indah, Kepala Batas.

...p/s : Sebarang perubahan hari dan waktu, serta kuliah pengajian berkala akan dimakluman dari masa kesemasa...


**Surah Muhammad (saw) : ayat 25 yang bermaksud : " Sesungguhnya orang-orang yang telah berbalik kepada keingkaran mereka sesudah terang nyata kepada mereka kebenaran pertunjuk (yang dikemukakan kepadanya), syaitanlah yang memperdayakan mereka  (berlaku demikian) , serta memanjangkan angan-angan mereka".


Terima kasih.

Wallahhualam.

Thursday 14 July 2011

KONSEP HIDUP ISLAM.

Dipetik dari penulisan : Sayyid Abul A'la Maududi
 
Ciri utama dari Din Al-Islam ialah ia tidak membenarkan sesuatu pertentangan, juga pemisahan yang ketara antara kehidupan kerohanian dan kehidupan dunia. Islam tidak sekadar membataskan dirinya untuk membina ketinggian kerohanian dan akhlaq semata-mata. 

Ruang lingkup peraturan yang dikemukakannya mencakupi segenap bidang kehidupan insan. la hendak melahirkan bukan sahaja ketertiban hidup diri perseorangan malah ketertiban hidup masyarakat manusia seluruhnya ke dalam pola-pola yang sihat dan bersih sehingga Kerajaan Allah dibangunkan dalam bentuk kenyataan di atas muka ini. Dengan demikian keamanan, kebahagiaan dan kemakmuran akan memenuhi segenap pelusuk muka bumi dan saujana samudera.

Cara hidup Islam didasarkan atas satu pendekatan yang unik kemas serta mantap dan ia merupakan konsep istimewa tentang kedudukan insan dalam alam semesta ini. Itulah sebabnya mengapa perlunya kita memahami terlebih dahulu Tasawwur lslami (konsepsi hidup menurut ajaran Islam) sebelum kita menangani atau membincangkan persoalan ini, masyarakat, politik dan ekonomi dari kacamata Islam.

Langkah permulaan menuju perbincangan persoalan-persoalan yang disebutkan di atas harus dimulai dengan memahami dan menghargai beberapa kaedah dasar. Kaedah-kaedah tersebut adalah seperti berikut:

1. Kaedah-kaedah dasar.

Allah Rabul 'Alamin - Dialah Pencipta. Penguasa dan Pemilik alam semesta, mencipta manusia dan menyediakan baginya tempat tinggal sementara di suatu tempat dari alam jagatnya yang luas yang dikenali sebagai bumi. Dia telah mengurniakan kepada manusia alat-alat berfikir dan memahami serta telah mengurniakan kemampuan membezakan antara yang Haq dengan yang Bathil.

Manusia juga telah diberikan kebebasan dengan daya ikhtiar dan hak memilih malah ia juga diberikan kuasa untuk menggunakan sumber-sumber alam mengikut cara yang disukainya. Secara ringkas dapatlah dikatakan bahawa manusia telah diberikan satu kuasa autonomi di samping tugas kekhalifahan yang telah diamanahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepadanya (untuk menjaga dan memelihara muka bumi ini).

Sebelum mengamanahkan tugas kekhalifahan di atas muka bumi ini kepada manusia, Allah Subhanahu Wata'ala telah menjelaskan kepada manusia bahawa Dialah satu-satunya Pemilik, Penguasa dan Tuhan kepada alam ini. Dengan demikian seluruh isi alam dan segala ciptaan di dalamnya (termasuk manusia) wajib tunduk patuh hanya kepada Dia sahaja.

Manusia mestilah tidak memikirkan bahawa dirinya bebas tanpa sebarang peraturan dan dia sepatutnya tahu bahawa tempatnya di atas muka bumi ini bukanlah tempat yang kekal abadi baginya. Ia ditetapkan untuk tinggal di atas muka bumi hanya bagi suatu tempoh percubaan yang telah ditetapkan, dan kelak bila tepat tiba pada masanya ia dikembalikan kepada Pemiliknya untuk diadili sesuai dengan cara mana ia telah melaksanakan amanahnya dalam jangka waktu percubaan yang telah di alaminya.

Satu-satunya jalan yang benar untuk manusia ialah dengan mengakui bahawa Allah Subhanahu Wata'ala satu-satunya Tuhan dan Pemilik dan kepada petunjuk dan arahannya sahajalah manusia patut mengikutinya di dalam membina kehidupan. Manusia haruslah menyedari bahawa kehidupannya nanti akan diadili dan satu-satunya tujuan hidupnya ialah untuk mencapai MARDATILLAH (keredhaan Allah) bagi membolehkannya layak menerima balasan baik di Hari Akhirat.

Sebarang sikap dan haluan yang bertentangan dengan perkara di atas akan membawa manusia kepada kesesatan dan kemusnahan. Sekiranya manusia mengikuti jalan yang baik, dan taqwa (yang ia adalah bebas untuk memilih dan mengikutinya) nescaya ia akan mendapati kejayaan di dunia dan di akhirat.

Di dunia dia akan beroleh kehidupan yang aman damai dan puas manakala di akhirat nanti ia merupakan orang yang layak menerima balasan Syurga Allah (Al Jannah). Dan jika ia memilih jalan yang lain menafikan dengan peraturan-peraturan Tuhan dan jalan yang jahat (juga merupakan jalan yang ia bebas memilih dan mengikutinya) nescaya kehidupan dunianya menjadi kehidupan yang penuh dengan penyelewengan, penipuan, kefasiqan dan kekecewaan manakala di Akhirat nanti ia ditimpa bala derita, siksa kepedihan dan rintihan penyesalan yang tidak berpangkal di dalam neraka Jahim.

Sesudah memberikan peringatan ini, Allah Subhanahu Wata'ala telah menempatkan manusia di atas muka bumi dan menyediakan manusia yang pertama (iaitu Nabi Allah Adam dan Sayyidatina Hawa) dengan PimpinanNya dan manusia mesti menjalani kehidupan di atas muka bumi ini berpandukan ketentuan dan peraturan yang telah ditetapkanNya. Dengan demikian kehidupan manusia di atas muka bumi ini tidak dimulai dengan keadaan gelap gelita.

Manusia yang pertama itu telah disediakan dengan sinar cahaya yang terang benderang dan Hidayah bimbingan yang membolehkan manusia mencapai kehidupan yang gilang-gemilang. Manusia yang pertama (iaitu Nabi Adam 'Alaihissalam) menerima Ilmu Tanzil dari Allah sendiri. Baginda mempunyai ilmu tentang hakikat dan telah diberikan pula peraturan hidup yang apabila dipatuhi ia akan mencapai serta menikmati kehidupan yang diredhai dan berjaya.

Peraturan ini ialah Islam, satu sikap tunduk patuh secara menyeluruh kepada Allah, Dialah Pencipta manusia dan seluruh alam jagat ini. Agama inilah agama Nabi Allah Adam 'Alaihissalam, manusia pertama yang kemudiannya mewariskan kepada zuriat keturunannya.

Tetapi generasi-generasi kemudiannya secara beransur-ansur telah menyeleweng serta menyimpang dari jalan yang benar dan mula mengambil jalan-jalan dari suara-suara yang salah dan palsu. Disebabkan oleh kelalaian mereka sendiri, mereka telah kehilangan ajaran-ajaran asli, atau kerana kebodohan atau kejahilan, mereka telah memalsukan dan memutarbelitkan ajaran-ajaran tersebut. Mereka menyekutukan (syirik) Allah Subhanahu Wata'ala dengan manusia, makhluk-makhluk yang tidak bernyawa dan benda-benda khayalan mereka yang tidak terkira itu sebagai tuhan-tuhan dan dewa-dewa dan telah memasukkannya dalam bentuk syirik yang paling buruk dan jelek.

Mereka telah mencampuradukkan ajaran-ajaran suci dari Allah dengan dongengan-dongengan, fikiran-fikiran dan falsafah-falsafah yang akhirnya menghasilkan belantara agama (bermaksud banyak agama) dan budaya. Mereka telah membelakangkan prinsip-prinsip etika sosial dan akhlaq jama’ah yang diberikan oleh Allah, iaitu Shari'at dan mengecewakan hidup manusia dari kebahagiaan dan kedamaian.

Sekalipun manusia telah tersisih dari landasan kebenaran, mengabaikan dan memutarbelitkan SYARI'AT, malah terdapat sebahagian dari mereka yang memberontak terhadap peraturan-peraturan Ilahi. Namun begitu Allah tetap tidak membinasakan mereka atau memaksa mereka kepada jalan yang benar.

Paksaan untuk mereka menerima jalan yang benar tentu sekali tidak serasi dengan autonomi yang telah Allah berikan kepada manusia. Sebaliknya Allah telah mengangkat orang-orang mulia yang tertentu dari kalangan mereka untuk memikul tanggungjawab memanggil semula dan membimbing manusia ke jalan kebenaran selagi mereka itu masih memenuhi ruang muka bumi ini.

Mereka ini adalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hidup mereka merupakan hidup yang penuh ketaatan kepadaNya. Allah telah memuliakan mereka dengan wahyuNya dan memberikan mereka ilmu tentang Hakikat. Mereka ini dikenali sebagai Nabi-Nabi (Sallallahu 'alaihim Ajma'in) yang telah diberikan tugas menyampaikan Risalah kebenaran kepada manusia dan menyeru manusia supaya mengikuti jalan Allah Subhanahu Wata’ala.